“Kata mahu goreng mee petang ini. Elok sangatlah, ayah kamu pun pulang malam ini”, ujar emak memberikan isyarat agar anaknya tidak menangguhkan hasratnya.
”Baiklah emak. Saya masak sekarang”, lembut sahaja si anak menuturkan.
”Masak sedap-sedap”, emak mengingatkan seperti biasa.
Tenang sahaja dia melangkah ke dapur. Bahan-bahan semuanya sudah dibeli. Memasak sepaket mee kuning bukanlah sesukar mana. Masa yang diambil pula tidaklah lama. Insyaallah mulakan memasak dengan hati gembira untuk menggembirakan.
Menjamu Selera
”Emak, mari makan, mee goreng sudah siap”, anaknya menguatkan sedikit suara memanggil emak di tingkat atas.
Kemudian dia berlalu pergi memanggil ayah yang sibuk di kolam halaman rumah, memberi makan kepada ikan-ikannya.
”Ayah, makan malam sudah siap, mari makan”, dari pintu rumah anaknya menyuarakan.
Mee goreng yang baru sahaja siap dimasak, dihidangkan diatas pinggan. Ayah dan emak mengambil tempat duduk. Masing-masing mula menjamu selera dihadapan anaknya. Anak yang memasak pada malam itu.
”Sedap”, ujar emak ringkas ketika pertama kali mencuba.
”Sedap ke mak?” sengaja si anak mendapatkan kepastian. Emak tidak menyampaikan tepat kepadanya. Matanya tunduk memandang makanan tatkala menyampaikan.
”Ya, sedap”, sesuap mee lagi singgah dimulut emak.
Alhamdulillah.
”Sedap tak ayah?”, anak bertanya kepada ayahnya pula.
Tahu benar akan sifat ayahnya, jarang sekali memberikan komen. Perlu ditanya. Kata emak, andai sedap, makannya berselera lagi bertambah. Andai kurang rasanya, tidaklah mengeji dan tidaklah bertambah pula. Senyap.
”Sedap. Sedaplah bila makan panas-panas”, ucap ayah.
Tersenyum anak mendengarkan ulasan ayahnya.
”Sedap sebab makan ketika panas rupanya……”, anaknya mengucapkan.
”Tapi, mee kuning ini memang sedap. Lain daripada mee kuning yang lain”, anaknya mengeluarkan pendapat pula.
”Sudah tentu. Mee ini tiada bahan pengawet. Tiada kapur”, emak mengukuhkan hujah dengan fakta.
Falsafah Memuji, Menjaga Hati
Jika diimbas kembali, emak dan ayah cukup jarang memuji anak-anaknya. Falsafah emak, memuji itu menimbulkan riak. Bimbang anak-anak sombong membangga diri.
”Emak, semalam selepas oral test, tiba-tiba sahaja Puan Durai tanya satu soalan”, anaknya cuba memulakan perbualan.
Emak diam sahaja. Sibuk membuat kerja.
”Soalnya, Do you think you are pretty?”, anaknya menyambung bicara.
“Pelik. Tapi, Puan Durai bertanya dengan wajah yang manis. Bukanlah menyindir, seolah-olah memberikan satu fakta”, tambah si anak lagi.
”Kamu jawab apa”, tanya emak.
”Tidaklah saya mengaku pula. Saya angkat bahu erti tidak tahu. Senyum dan berlalu pergi dalam keadaan malu”, jujur si anak yang masih keanak-anakkan.
”Cantik wajah perlu dilengkapi dengan akhlak yang cantik. Barulah benar-benar cantik”.
Emak tidak mengiyakan, tidak pula menidakkan kecantikkan anaknya. Emak sekadar memberi kata-kata hikmah buat si anak fikirkan. Kata-kata hikmah yang dipegangnya agar tidak alpa dengan kecantikan wajah kurniaan Allah.
Begitulah didikan ayah dan emak. Bahkan jarang sekali memuji sekalipun anak-anaknya cemerlang dalam akademik. Sekadar memberikan hadiah. Lagilah jarang melihatkan mereka bercerita kebaikan-kebaikan anak-anak dihadapan orang lain pula. Mudahnya, mereka jarang memuji untuk menjaga hati.
Begitu jugalah yang dianjurkan Islam. Pujian itu ada kaedahnya. Pujian itu asasnya ialah puji buat Allah Yang Maha Mengatur dan Mencipta. Memuji buat Yang Esa, yang dipuji pulangkan pujian pada Yang Mengurniakan segala kebaikan serta kelebihan.
Budaya Menghargai
Sememangnya perlu berpada-pada ketika memuji. Namun, masyarakat kita, sukar sekali untuk memuji! Sekaligus, jauh dengan budaya menghargai.
Pandailah memilih kata-kata serta tempat untuk memuji. Pujian itu tidak lain hanyalah kata-kata indah untuk menggembirakan hati mereka yang berusaha. Pujilah ketika kita bersendirian dengannya, tidak pula dikhalayak ramai yang acapkali menimbulkan perasaan yang berbeza misalnya.
Paling asas ialah luruskan niat tatkala mengucapkan kata-kata indah (memuji). Mohon agar Allah jauhkan kita daripada riak. Niatkan untuk menghargai lagi bersyukur pada Allah atas kurniaanNya. Mudah.
”Terima kasih kerana rajin menolong membasuh pinggan”.
”Sedap masakan hari ini. Terima kasih”
Tidak perlu pujian yang meleret-leret. Cukup ayat-ayat ringkas yang disusun dengan kata-kata indah. Sungguh budaya menghargai ini akan menceriakan suasana keluarga. Mewujudkan suasana positif. Hatta, andai diamalkan dengan baik ketika bersama kawan-kawan mahupun di tempat kerja, pasti berbeza rasanya. Indah lagi puji dan syukur buat Allat swt.
”Kalau mahu hargai, mahu ucapkan kata-kata indah, semasa manusia masih hiduplah. Andai sudah pergi bertemu Tuhan baru hendak nyatakan; sayang, terima kasih….alamatnya, sudah terlambat”.
Itulah falsafah emak dalam menghargai.
Tidak salah mengungkapkan kata-kata indah untuk membungakan hati. Membawa ingatan pada Ilahi. Yang Maha Menghargai hambaNya dengan 99 namaNya.
No comments:
Post a Comment